03 November 2008

Laman hijau serlah ketenanganDapatkan pandangan pakar sebelum hiasi laman



MEMPUNYAI laman yang cantik dengan rumput menghijau pasti menjadi idaman ramai walaupun halaman rumah hanya ‘sekangkang kera’ atau ruangnya terhad.

Namun, untuk mendapatkan rumput menghijau yang cantik di laman rumah bukannya kerja mudah kerana anda perlu ada pengetahuan mengenainya, jika tidak dikhuatiri apa yang diharapkan menjadi sebaliknya.

Justeru, seeloknya dapatkan maklumat lanjut mengenai rumput sama ada melalui pembacaan atau peroleh nasihat pakar bagi mendapatkan hasil yang diingini seindah laman di perumahan mewah atau padang golf.

Adalah wajar dapatkan pandangan pakar untuk memilih rumput dan cara menjaga rumput yang betul supaya laman kekal segar dan cantik sepanjang masa.

Sebenarnya ada lebih 9,000 spesies rumput di muka bumi ini tetapi di Malaysia ada empat jenis yang sesuai dan biasa menghiasi laman kediaman iaitu Cowgrass atau Axonopus compressus, Bermudagrass (Cynadon Dactylon), Serangoongrass (Digitaria Didactyla) dan Zoysiagrass.

Gambar contoh

Bersihkan tanah dan buang batu serta sampah sebelum rumput ditanam.
(Gambar contoh)

Pengurus Bumi Hijau Landscape, Bukit Beruntung, Eyalarsan Achu memberikan beberapa tip untuk memulakan proses menanam rumput.

Beliau berkata, bulan pertama adalah waktu yang kritikal bagi penanaman rumput kerana ia perlukan penjagaan rapi, air dan baja yang sesuai.

“Jika sukatan air dan baja berlebihan atau tidak mencukupi pokok tidak akan tumbuh cantik dan kemungkinan risiko akan mati,” katanya.

Achu berkata, pemilihan benih rumput juga penting jika mahu melihat hasil yang cantik, maka pilih pokok yang elok, tidak cacat dan berwarna kuning.

Atur rumput permaidani rapat-rapat mengelak rumput liar naik.(Gambar contoh)

Selepas itu, katanya kenal pasti tanah untuk memastikan tidak berlopak, ada batu dan benda asing yang boleh merencatkan pertumbuhan rumput.

“Dalam peringkat ini, pemilik kediaman perlu membuang semua sampah, batu dan benda asing yang terdapat di laman. Selepas selesai membersihkan laman, periksa jika perparitan berhampiran atau kawasan lopak yang boleh menyebabkan air bertakung.

“Kemudian ratakan tanah supaya tidak ada kawasan yang cerun atau berlubang yang boleh menakung air. Selepas itu tutup kawasan berkenaan dengan tanah berwarna kuning dan ratakan. Selepas itu bolehlah mula menanam rumput Cowgrass,” katanya.

Bagi rumput jenis Permaidani (Carpetgrass) dan Mutiara (Pearlgrass), selepas lapisan tanah kuning perlu ditutup selapis dengan pasir. Ini kerana pasir akan menutup ruang kosong. Rumput jenis Permaidani dan Mutiara ini perlu ditanam rapat-rapat mengelak air bertakung dan merosakkan akarnya.

Jika ada kawasan yang berlubang, ambil pasir dan timbuskan. Selain mengelakkan air bertakung dan merosakkan akar rumput, langkah meletakkan pasir bagi menghalang pertumbuhan pokok dan rumput tidak diingini atau dikenali sebagai Missgrass.

Dalam tempoh sebulan ditanam, rumput perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang serta dibaja sekali dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Baja yang sesuai adalah daripada jenis 15+ 15+ 15+ sesuai untuk rumput Mutiara dan Permaidani manakala 8+ sesuai untuk rumput Cowgrass.

Baja yang paling sesuai adalah daripada organik atau tahi haiwan, namun elakkan menggunakan baja tahi ayam kerana ia panas dan kurang sesuai untuk pokok renek seperti rumput. Baja tahi ayam lebih sesuai untuk pokok besar seperti Royal Palm, Busida dan Calathea.

Selepas sebulan, rutin siraman dan baja diteruskan tetapi jika rumput semakin panjang, disarankan supaya memotongnya tetapi jangan terlalu pendek sehingga menampakkan tanah kerana tindakan itu boleh mendedahkan rumput pada air yang boleh menyebabkannya bertakung serta merosakkan akar dan mempercepatkan rumput mati.

Jika rumput anda kuning ia bermakna tidak cukup baja dan kekurangan cahaya matahari. Baja dan air perlu seimbang dan elakkan membaja terlalu kerap kerana ia menggalakkan pertumbuhan rumput yang menyebabkan ia perlu kerap dipotong.

Rumput yang terlalu panjang terutama bagi jenis rumput Permaidani akan menyebabkan air mudah bertakung dan rumput cepat rosak dan mati.

Fakta Mengenai Rumput

  • Selain menjadi hiasan untuk laman, rumput adalah makanan haiwan. Dalam sesetengah keadaan padi, barli, jagung dan oat juga dimasukkan dalam kategori rumput. Ini bermakna rumput adalah sumber makanan terpenting di dunia.

  • Dalam sesetengah tempat, rumput banyak digunakan dalam pembinaan kediaman. Ini termasuk penggunaannya sebagai atap, dinding menerusi buluh (juga masuk dalam kategori rumput). Rumput juga digunakan untuk menghasilkan gula, liquor, roti dan plastik.

  • Rumput sebenarnya berfungsi menghalang tanah merekah dan tanah runtuh kerana akarnya mengikat tanah.

  • Seperti tumbuhan lain, rumput memerlukan tiga asas utama untuk hidup dan kekal lama iaitu cahaya matahari, air, nutrisi, selain biji benih yang elok, bebas daripada penyakit, serangan serangga.

    Perkara yang perlu difikirkan sebelum menanam rumput

    1. Kegunaan; adakah rumput itu ditanam untuk menghias kawasan keliling rumah, taman permainan kanak-kanak, padang bola, padang golf dan sebagainya. Lain kegunaan akan menentukan jenis rumput.

    2. Tahap penjagaan; berapa kali sebulan atau seminggu anda sanggup memotong, membaja atau berapa jam sehari anda sanggup habiskan masa untuk membuang rumput liar. Kita akan bahagikan kepada kategori; tinggi, rendah dan sederhana.

    3. Kawasan yang akan ditanam; adakah ia berdekatan dengan bangunan atau ada banyak pokok? Setengah jenis rumput memerlukan lebih dari enam jam sehari cahaya matahari yang terang.

    4. Belanja yang sanggup kita keluarkan; ada rumput yang memerlukan lebih banyak baja atau racun untuk penjagaan.
  • Tiada ulasan: